Tonggak – Tonggak NLP (Pillars of NLP)
NLP mempunyai beberapa tonggak atau tiang utama dalam menyandarkan prinsip keberkesanannya. Empat tiang utama yang diutarakan ialah:
* Hubungan Mesra (Rapport)
Rapport merupakan anugerah paling utama terbit dari NLP. Ianya berasal dari kata kerja Perancis “rapporter” yang bermaksud “kembalikan atau bawa balik” sementara kamus Inggeris mendefinasikannya sebagai “hubungan yang bersimpati atau memahami”. Ianya adalah bagaimana anda membina hubungan dua hala dengan orang lain. Keupayaan mengendalikan “rapport” yang baik membolehkan kita melakukan kerja dengan baik, mengurangkan tekanan, mempengaruhi atau meyakinkan orang lain, dan tentunya ini boleh melonjakkan kejayaan diri kita ke tahap yang lebih tinggi.
* Kesedaran Sensori (Sensory Awareness)
Kita mempunyai lima deria yang menghasilkan kita sebarang maklumat. Ianya adalah penglihatan, pendengaran, sentuhan atau perasaan, rasa dan bau. Fikiran bertaut rapat dengan keadaan fisiologi. Proses pemikiran akan mengubah keadaan fisiologi.
* Fikiran Penyudah (Outcome Thinking)
Kehidupan kita dibentuk dari pilihan kepada keputusan yang kita buat. Bagi setiap pilihan dan keputusan yang diambil ianya bergantung kepada apa yang kita kehendaki akhirnya. Ianya sama dengan apa yang diperkatakan sebagai prinsip kedua iaitu “Mulakan dengan yang akhirnya dalam minda” oleh Stephen Covey dalam bukunya “7 Tabiat Manusia Yang Berjaya” .
* Perlakuan Fleksibel (Behavioural Flexibility)
Ini merupakan salah satu kelebihan yang kita miliki yang sepatutnya digunakan sepenuhnya. Sekiranya sesuatu yang kita lakukan tidak membuahkan hasil yang kita inginkan maka adalah lebih baik kita melakukan cara yang lain pula.
Joseph O’Connor dalam bukunya “NLP Workbook” pula menambah dua lagi tongggak iaitu:
Anda (Diri Sendiri) (You)
Anda disini bermaksud keadaan emosi dan kemahiran diri kita. Kita adalah bahagian utama dalam setiap proses intervensi NLP. Samada NLP dapat digunakan dengan baik atau tidak bergantung kepada diri kita. Dalam menjalankan sebarang proses NLP kita mestilah selari atau kongruen baik dari segi kepercayaan dan nilai yang kita pegang.
* Andaian Utama (Presuppositions)
Ia adalah prinsip-prinsip, idea atau kepercayaan yang memandu arah NLP. Ia tidak semestinya benar tetapi boleh diterima sebagai betul pada waktu tersebut.